5 Tips Terbaik Penyusuan Susu Ibu

Tempoh dua tahun penyusuan adalah satu proses ikatan yang sangat istimewa antara ibu dan bayi. Pasti anda mahu ianya berjaya.

Kami kongsikan 5 tips penyusuan susu ibu kali ini sebagai panduan menjayakan misi besar ini.

Jom kita lihat satu persatu.

1. Lakukan Persediaan Awal

Seperti juga sebelum membeli sebuah kereta, anda pasti belajar memandu dan hadir ke kelas memandu. Begitu juga proses penyusuan.

Ia bermula sebelum anda bersalin lagi. Persediaan selepas bersalin juga dapat membantu ibu memahirkan ilmu penyusuan.

Mulakan dengan menambah ilmu dan pengalaman mengenai penyusuan susu ibu daripada buku-buku, hadiri kelas-kelas penyusuan, sertai kumpulan sokongan seperti Malaysian Breastfeeding Peer Councelor (MBfPC) yang sedia terlatih.

Anda boleh layari laman web mereka di www.malaysianbfpc.org untuk info lanjut.

2. Sediakan Kelengkapan Sokongan

Tips penyusuan susu ibu seterusnya adalah berkaitan kelengkapan sokongan penyusuan.

Sediakan coli khas penyusuan yang memudahkan bukaan ketika menyusu. Pakaian berzip atau berbutang di hadapan memudahkan ibu menyusukan bayi.

Kedua-dua golongan ibu bekerja atau surirumah memerlukan persediaan kelengkapan sokongan penyusuan ini.

Ianya sebagai persediaan di saat-saat kecemasan contohnya ketika ibu sakit dan tidak dapat menyusukan bayi.

Selain daripada teknik Mermet (memerah susu menggunakan tangan) ibu juga boleh bersiap sedia dengan peralatan pam susu. Boleh dapatkan pam yang manual jika tiada bajet.

Tidak perlu pam yang terlalu mahal kerana kejayaan penyusuan ibu tidak bergantung sepenuhnya kepada jenis pam tersebut.

Ia berbalik semula kepada kesungguhan anda.

3. Dapatkan Sokongan Suami & Ahli Keluarga

Antara faktor kejayaan penyusuan susu ibu adalah sokongan daripada suami kepada isteri yang memilih untuk menyusukan anak mereka.

Suami atau ayah juga perlu tahu mengenai aspek penyusuan, makanan penggalak susu yang harus disediakan kepada ibu, menyediakan diet yang betul kepada ibu baru bersalin serta memberi sokongan emosi kepada isteri.

Kewajiban seorang suami ini disebutkan dalam Al Quran dalam Surah Al Baqarah ayat 233 iaitu …”Ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun genap bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan dan wajiblah bapa (menyediakan keperluan) makan dan minum dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf.”

Pada peringkat permulaan, suami dan keluarga perlu ambil alih urusan di rumah kerana ibu perlu memberi tumpuan hampir 24 jam sehari menjayakan penyusuan ibu.

Jika ibu stress, fikir perlu memasak, mengemas rumah, mengurus anak-anak yang lain sehingga proses penyusuan terganggu maka inilah yang menyebabkan kuantiti susu menurun. Ibu yang tenang, sihat dan positif dan kerap menyusukan bayi mampu menghasilkan susu lebih banyak.

4. Elakkan Memakai Wangian Semasa Menyusu

Bagi menjayakan penyusuan susu ibu, kurangkan perkara yang boleh menghalang ia berjaya. Bayi lebih suka bau semulajadi ibunya.

Kelenjar Montogomery pada puting ibu mengeluarkan sejenis bau yang unik dan itulah yang mampu membuatkan bayi mencari susu ibunya hatta jika ia menutup mata.

Hebatnya Allah menciptakan teknologi penyusuan manusia apabila ibu dapat menghayati proses komunikasi dan interaksi dengan bayi.

Ia memang sesuatu yang membahagiakan. Itulah penghubung kasih sayang antara keduanya.

5. Kenal Pasti Posisi Menyusu Yang Pelbagai

Tip penyusuan susu ibu yang terakhir ini sebagai meraikan keadaan fitrah seorang ibu dan bayi itu sendiri.

Bayangkan 40 minit tempoh menyusu pasti ibu dan bayi memerlukan keselesaan sepanjang tempoh itu.

Ada 4 posisi yang boleh digunakan semasa menyusu iaitu:

1) Posisi Cradle Hold – Posisi paling popular dengan ibu mendukung bayi, sambil memastikan hidung bayi bertentang dengan puting susu. Sokong belakang bayi sehingga perut bertemu perut dan mula menyusu.

2. Posisi Reverse Cradle Hold (Cross-Cradle) – Bertentangan dengan posisi di atas dimana ibu boleh melihat mulut bayi melekap pada payudara. Ia digunakan untuk mengatasi masalah bayi yang mudah terlepas puting payu dara atau pramatang.

posisi cradle hold reverse cradle hold

3. Posisi Berbaring – Inilah posisi yang paling selesa bagi kedua-dua ibu dan bayi. Letakkan bantal pada badan sebagai sokongan sepanjang menyusu.

4. Posisi Football Hold – Pegang bayi seperti memegang bola sepak dan letakkan bantal dibawah bayi untuk menyokong badannya supaya ibu tidak keletihan.

posisi menyusu bayi

Rujukan :

Faridah Idris, Membesarkan Anak Hebat Dengan Susu Ibu.(2013). Selangor : PTS Milenia Sdn Bhd

Rosanna Chio, Sebelum Menyusu Bayi Pastikan Anda Tahu 5 Ilmu dan Cara Susukan Bayi ini Dulu! daripada https://my.theasianparent.com/posisi-menyusu-bayi/

Kongsikan Bersama Rakan:
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge